Tuesday, February 3, 2009

1-Perubahan

Seluruh Dunia seakan mendoakan kemenangan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru. Perubahan yang dijanjikan kepada rakyat Amerika untuk kempen pemilihan presiden baru, seolah-olah menjadi janjinya kepada warga dunia; dasar luar Amerika akan turut berubah. Dan dunia bersama-sama dengan warga Amerika beria-ia meraikan kemenangan pemimpin berketurunan Afrika pertama yang menjadi Presden Amerika Syarikat. Kita semua meraikan kemenangan Obama, seolah-olah kemenangannya itu adalah kemenangan dunia dan lebih enam billion warganya. Dikaca televisyen kita dapat melihat bagaimana meriahnya warga daripada seluruh benua meraikan kemenangan Obama dengan cara masing-masing. Hakikatnya, walau apapun yang akan berlaku nanti, Obama sudah berjaya memahat namanya sebagai calon presiden Amerika Syarikat yang paling popular dikalangan warga bukan Amerika. Ditengah-tengah kebencian terhadap Bush yang menerima 'hadiah' kasut ketika lawatan akhirnya ke Iraq; mungkin juga tokoh presiden Amerika Syarikat yang paling dibenci warga dunia.
Namun beberapa bulan selepas kemenangannya itu, bila rejim binatang Israel mula menyerang Gaza dan membunuh ratusan nyawa Palestin, warga dunia mula tertanya-tanya, manakah dia si hero Amerika yang sering bercakap pasal perubahan yang mahu dibawanya? Obama cuma senyap membisu. Ramai yang kecewa. Kemudiaan Obama bersuara. Katanya pada satu-satu masa, Amerika patut ada hanya seorang Presiden sahaja. Sememangnya ahli-ahli politik Amerika memang pandai menyusun kata. Lihat sahaja cara Rice menyusun kata menghalalkan pembunuhan warga Palestin di Gaza. Hari bersilih ganti. Israel semakin mengganas! Gaza yang berhujankan bom, musnah di sana-sini. Semakin ramai warga Palestin yang terbunuh (dibunuh mungkin lebih tepat) dan cedera. Masuk dua minggu, angka kematian mencecah lebih tujuh ratus nyawa dan lebih tiga ribu orang pula mengalami kecederaan (angka sebenar mungkin lebih besar lagi!). Obama masih berdiam diri. Diam seribu bahasa. Ramai yang mula meragui kemampuan Obama. Ramai juga yang mula sangsi dengan janji yang dicanang semasa beliau berkempen tahun lepas. Tidak kurang juga yang mencemuh sinis, manifesto Obama. Slogan 'Ya, kita boleh' yang menjadi ikutan di seluruh dunia lewat kemenangannya, sudah menjadi tidak berapa 'boleh' nampaknya. Namun perasaan sinikal dan skeptikal warga dunia sememangnya berasas. Kekejaman rejim Israel yang didukung Amerika amat memualkan. Marah sudah bercampur benci. Kenapakah koboi baru Amerika masih berdiam diri? Kita faham dalam sesebuah kapal hany perlua ada seorang Nakhoda. Tetapi kita juga faham resam retorik dalam berpolitik. Kenapa Obama walaupun tidak mampu berbuat apa-apa keran masih belum menjadi Presiden Amerika Syarikat yang sah, tidak pula mengutuk keras tindakan buas tidak berperikemanusiaan rejim Zionis laknatullah?!

No comments:

Post a Comment