Friday, February 6, 2009

6-14 Hari Di Rumah Putih

Kelmarin Genaplah dua minggu Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-44. Setelah majlis gilang gemilang termahal dalam perlantikkan seseorang presiden dalam sejarah negara tersebut (lebih bersejarah lagi kerana majlis glamor itu berlangsung ketika Amerika sedang tenat dengan kemelesetan ekonomi terburuk semenjak 'the Great Depression' pada tahun 1930an) dengan kehadiran nama-nama besar dunia hiburan, negara kilang hiburan duniaitu Obama kelihatan sangat bergaya apabila memutuskan untuk tidak meneruskan legasi Bush dengan meluluskan usul California untuk menjadi negeri pengeluar kereta jimat petrol. Cadangan itu pernah ditolak pentadbiran Bush. Tambah Obama, Amerika Syarikat haruslah menjadi pelopor dan pintu utama pengeluar kereta jimat petrol. Ini juga dapat dilihat sebagai komitmen pentadbiran beliau kepada keadaan bumi yang lebih hijau! Mungkin ada yang terkesan dihati Obama apabila dia melakukan pertemuan empat mata dengan Al-Gore untuk bertukar-tukar pendapat tentang isu pemanasan sejagat. Dan itulah yang menjadi harapan kita semua. Dunia kini mahu melihat sejauh manakah Obama dapat memimpin Amerika Syarikat untuk komited dalam mengurangkan pengeluaran gas karbon pencemar, yang banyak menyumbang kepada penipisan ozon dunia. Amerika dengan kepimpinan Obama tidak patut berdalih lagi dengan menyalahkan China (dan India) dalam isu pelepasan gas karbon pencemar terlampau! Amerika sudah terlalu lama menyalahkan negara lain. Sebagai negara pencemar terbesar dunia, negara itu mempunyai tanggunjawab moral untuk menyelematkan bumi daripada terjerumus teruk ke dalam permasalahan ini. Amerika sendiri harus mengurangkan pencemaran bumi yang datang daripada negaranya dan berhenti menuding ke China. Negara itu juga harus bersedia untuk menandatangani Protokol Kyoto yang sudah terlalu lama dipandang sepi oleh pentadbirannya. Dunia mahu melihat seorang bapa muda seperti Obama dengan dua anak gadis cantik mampu mewariskan bumi yang lebih hijau kepada mereka dan generasi akan datang? Ataupun adakah beliau juga, seperti kita hanya mampu melihat kemusnahan dunia, kerana tidak mampu berbuat apa-apa kerana lobi kuat ahli-ahli perniagaan?! Adakah dia sanggup melihat gugusan kepulauan pasifik tenggelam dan hilang dari peta dunia dengan peningkatan beberapa meter paras air laut? Atau mungkinkah Obama hanya akan berbuat sesuatu apabila kepulauan Hawaii mengalami nasib yang sama?

No comments:

Post a Comment